Saturday 28 September 2013



PENULISAN REFLEKSI
OLEH NURUL HUDA KHAIRIAH BINTI AB BASIR 
UNIT PRASEKOLAH

          Terlebih dahulu saya ingin merapatkan tangan ke Ilahi sebagai tanda syukur saya kepada Allah SWT kerana dengan limpah kurnia-Nya, akhirnya dapat juga saya menyiapkan tugasan projek bagi subjek GKB 1053, Kemahiran Belajar  ini.

            Saya telah menerima tugasan ini pada 5 Ogos 2013 dan diberi tempoh empat minggu untuk disiapkan. Tugasan ini perlu dijalankan secara individu namun saya turut berkongsi idea dan maklumat bersama rakan-rakan unit yang lain. Memandangkan ini merupakan kali pertama saya menerima tugasan sebagai pelajar di Institut Pendidikan Guru, saya berasa amat teruja dan menjadikan ini satu cabaran dan pengalaman baharu untuk diterokai. Melalui bantuan pensyarah, Encik Hamzah bin Dollah, rakan- rakan dan sedikit ilmu pengetahuan mengenai mata pelajaran ini, hasil daripada pembelajaran saya semasa kuliah, akhinya, saya mampu menyiapkan tugasan ini dalam tempoh yang ditetapkan.

Sepanjang saya melaksanakan tugasan ini, saya menjalani pelbagai peringkat bagi mendapatkan maklumat sebagai sumber rujukan sebelum memulakan penulisan bagi tugasan tersebut. Pertama, saya mengambil inisiatif dengan membaca dan mengetahui kehendak tugasan yang diberi. Setelah itu, saya mencari maklumat yang berkaitan dengan definisi dan juga konsep kemahiran membaca dengan menggunakan internet dan Tatabahasa Dewan sebagai rujukan. Pada fasa kedua iaitu semasa penulisan, saya menjalankan proses pemerhatian seperti teknik-teknik atau strategi membaca yang berkesan bagi seorang pelajar. Saya menjadikan orang sekeliling saya sebagai contoh seperti cara-cara mengulang kaji pelajaran yang diamalkan oleh kakak dan abang serta rakan-rakan saya di sekolah. Seterusnya, rujukan saya tertumpu kepada bahan-bahan bacaan daripada akhbar dan majalah serta pihak yang berpengalaman dalam bidang tersebut. Sebagai contoh, saya turut mendapatkan maklumat dengan bertanyakan pengalaman dan pengetahuan ibu bapa saya. Malah, saya turut merujuk kepada pensyarah bagi memastikan saya menggunakan format yang betul untuk tugasan yang diberi.

Melalui tugasan ini, saya banyak belajar perkara baharu tentang konsep serta strategi kemahiran-kemahiran generik seperti membaca, membuat dan mengambil nota dan sebagainya. Malah, saya mempelajari betapa pentingnya kemahiran-kemahiran ini diamalkan sejak kecil dalam kehidupan seorang pelajar. Tambahan pula, saya selaku bakal pendidik memainkan peranan yang penting untuk menerapkan amalan serta strategi belajar yang berkesan dalam kehidupan bakal murid-murid saya. Apa yang saya telah pelajari dalam subjek ini amat berguna untuk diaplikasikan semasa saya menjadi guru di sekolah kelak.

           Sepanjang menyiapkan tugasan ini, terdapat juga masalah atau kekangan yang saya tempuhi. Antaranya ialah kekangan masa. Hal demikian kerana, saya terpaksa membahagikan masa antara waktu kuliah dengan waktu membuat tugasan. Namun, saya berasa sungguh bersyukur kerana tempoh tugasan yang diberikan agak lama dan dengan kesempatan yang diberi saya membahagikan masa antara waktu kuliah dan tugasan- tugasan subjek lain dengan baik agar saya dapat menyiapkan tugasan ini dengan sebaik mungkin. Oleh itu, saya sedar bahawa  pengurusan masa amat penting terutama sebagai pelajar di Institut Pendidikan Guru di mana melatih saya untuk berdisiplin dalam melakukan apa jua tugasan yang diberi. Hal ini sekaligus membentuk diri saya menjadi insan yang cemerlang bagi membentuk akhlak yang mulia dalam kalangan murid-murid kelak.

Selain itu, saya juga menghadapi masalah dalam mencari bahan rujukan daripada sumber buku atau majalah. Hal ini kerana bahan-bahan bacaan yang berkaitan dengan topik tugasan daripada perpustakaan sedikit terhad dan tidak dapat dipinjam untuk difotostat. Oleh itu, saya mengambil langkah untuk mengimbas bahan-bahan bacaan daripada buku dan artikel dalam majalah. Di samping itu, saya turut mengambil inisiatif dengan mengambil gambar dan membuat catatan tentang topik yang dicari. Berdasarkan kemahiran mengambil nota yang telah dipelajari di sekolah, saya mengaplikasikannya dalam strategi untuk mencari maklumat serta bahan rujukan bagi memulakan tugasan. Masalah ketiga yang saya hadapi dalam membuat tugasan ini pula ialah masalah dalam membuat bibliografi mengikut format APA . Namun, saya dapat menanganinya dengan merujuk kepada pensyarah dan juga rujukan dalam internet. 

         Tambahan pula, tugasan ini bukan sekadar memenuhi peruntukan yang disenaraikan untuk pemarkahan sahaja namun tugasan ini memberi banyak kekuatan dan pengetahuan yang lebih luas mengenai konsep kemahiran belajar yang sebenar yang perlu diamalkan dalam kalangan pelajar kini agar kandungan serta masa yang diperuntukkan dalam pembelajaran berkualiti bagi menjamin masa hadapan yang cerah. Selain daripada itu, tugasan ini banyak membantu saya dari segi menghasilkan blog, pengurusan grafik dan penulisan akademik yang baik serta sesuai dengan kehendak format yang diberi. Hal ini kerana, ini adalah pengalaman pertama saya dalam membuat tugasan menggunakan blog serta pembentangan dan pengurusan grafik. Walaupun ia dianggap mudah namun saya turut menghadapi kesukaran dalam proses menghasilkannya. Namun begitu, jika dilihat daripada sudut positif, saya berasa bertuah kerana dapat mempelajari sesuatu yang baharu seperti kemahiran dalam menggunakan perisian komputer dengan cekap dan baik dalam menghasilkan blog dan pengurusan grafik yang kreatif dan kemas.

Menurut kajian dan pengalaman saya, guru-guru kini amat memerlukan kemahiran dalam menggunakan komputer dengan cekap disebabkan dunia teknologi yang canggih dan sentiasa berkembang maju serta sistem pengajaran dan pembelajaran yang banyak menggunakan sistem komputer untuk berurusan. Oleh itu, saya sedari bahawa kepentingan dalam mahir menggunakan komputer serta menyediakan nota atau bahan dalam pengurusan grafik yang baik dari segi kreativiti dan kekemasannya mampu membantu saya dalam menyediakan bahan mengajar yang berkesan untuk murid-murid ketika praktikum di sekolah kelak. Dalam menghasilkan pengurusan grafik, saya banyak menggunakan perisian serta aplikasi yang terdapat dalam komputer seperti “Smart Art” atau “Chart” yang terdapat dalam Microsoft Office Word dan juga Power Point Presentation.

Di samping itu juga, saya mendapati aplikasi komputer yang terdapat dalam Microsoft Office Word mampu membantu saya dalam menghasilkan bibliografi yang mengikut kehendak  format APA. Oleh hal yang demikian, saya sebagai seorang pelajar dan bakal guru perlu meneroka dan menambah ilmu yang sedia ada bagi menyediakan diri ke arah mencapai matlamat Falsafah Pendidikan Negara iaitu melahirkan insan yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek.

Bukan itu sahaja, tugasan ini juga membantu saya dalam menghasilkan penulisan akademik yang baik iaitu dalam bentuk esei. Saya dapat melatih diri saya dalam menghasilkan penulisan esei yang baik dari segi kosa kata, tatabahasa, ejaan dan sebagainya. Hal ini secara tidak langsung dapat meningkatkan kemahiran berbahasa saya iaitu daripada aspek kemahiran membaca dan menulis. Malah, ia juga melatih saya dalam menghasilkan penulisan esei yang baik dalam menjawab soalan peperiksaan yang berbentuk esei. Ia menjadi kekuatan kepada saya untuk menguasai kemahiran berbahasa serta penggunaan bahasa yang baik sama ada dalam penulisan mahupun pertuturan. Sebagai bakal seorang guru, saya tidak boleh menjadi seperti ketam mengajar anaknya berjalan. Saya menyedari bahawa pentingnya seorang guru mencari dan menuntut ilmu sebanyak yang mungkin agar ilmu yang dicurahkan tepat dan diberkati Allah SWT.

        Sesungguhnya, saya berasa sangat bertuah kerana diberi peluang untuk mempelajari segala ilmu ini kerana ianya pasti sangat membantu saya dalam kerjaya perguruan ini nanti. Hal ini kerana sudah semestinya saya perlu mengetahui dan memahami konsep sebenar kemahiran belajar dan mengaplikasikannya dalam kehidupan. Tambahan pula, terdapat isu yang mempersoalkan kemahiran guru selain daripada mengajar dan membimbing murid dalam membentuk insan yang cemerlang. Guru seharusnya menguasai pelbagai kemahiran ekoran sistem pengajaran dan pembelajaran yang diikuti dengan perkembangan teknologi yang canggih. Oleh hal yang demikian, ilmu yang diperolehi oleh guru-guru pelatih di Institut Pendidikan Guru perlu diaplikasikan dalam kehidupan sebenar di mana bukan sahaja fokus kepada subjek utama malah subjek sampingan seperti subjek Kemahiran Belajar yang mengutamakan pembentukan sahsiah dan kemahiran pelajar apabila menjadi guru kelak.


        Akhir kata, dalam menyiapkan tugasan ini, pelbagai kekuatan dan kelemahan yang ditemui dan kekuatan itu dijadikan amalan manakala kelemahan dijadikan pengajaran. Saya berasa lega kerana dapat menyiapkan tugasan dengan jayanya dan mengambil kesempatan untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada pensyarah serta rakan-rakan yang telah memberi kerjasama dan bantuan yang tidak terhingga dalam melaksanakan tugasan ini. Oleh itu, saya berharap agar hasil penulisan kerja kursus saya ini menepati kehendak dan piawaian yang ditetapkan oleh pihak pensyarah dan pihak Institut Pendidikan Guru Malaysia.

Sekian, terima kasih.


Monday 23 September 2013

GKB 1053 KEMAHIRAN BELAJAR

DISEDIAKAN OLEH NURUL HUDA

PPISMP SEMESTER 1 PRASEKOLAH


TEKNIK MEMBACA

     Apa Itu Membaca??™
  • suatu cara bagi mendapatkan informasi daripada sesuatu yang ditulis.
  • pembaca mestilah mempunyai tujuan sebelum memulakan pembacaan.
  • bagi menjadi pembaca yang berkesan, kita mesti menguasai beberapa teknik membaca yang betul dan sesuai dengan keupayaan kita.
  • Teknik membaca terbahagi kepada dua iaitu pembacaan cepat dan pembacaan perlahan. 

TEKNIK PEMBACAAN CEPAT/PANTAS

> Skimming (luncuran)
> Scanning (imbasan)

  TEKNIK PEMBACAAN PERLAHAN

> SQ3R
> KWLH


   Teknik Pembacaan Cepat/ Pantas

1. SKIMMING (LUNCURAN)

 > Kemahiran membaca untuk mendapatkan maklumat ringkas dan pantas mengenai sesuatu bahan atau maklumat.


Tujuannya adalah untuk mendapatkan :

> maklumat ringkas tetapi menyeluruh mengenai sesuatu bahan atau dokumen

> pandangan umum mengenai dokumen dengan segera


Bagaimana Membuat Skimming

• membaca tajuk pendahuluan dan rumusan bahan atau dokumen
• membaca dengan menggunakan pergerakan mata yang cepat
• fokus kepada bahagian tertentu dalam buku seperti pengenalan,
  tajuk utama dan rumusan
memberikan tumpuan sepenuhnya pada bahan yang dibaca

2. SCANNING (IMBASAN)
> Kemahiran membaca untuk mendapatkan maklumat yang lebih mendalam daripada skimming. 

Tujuannya adalah :

  •        untuk mendapatkan maklumat tertentu sebagai jawapan kepada sesuatu persoalan
  •        untuk mendapatkan gambaran keseluruhan mengenai tajuk
  •         untuk mengenalpasti keseluruhan kandungan
  •         fokus kepada tajuk yang dikehendaki
  •         untuk mendapatkan gambaran / latar belakang tajuk

 Bagaimana Membuat Scanning

•membaca pendahuluan dan rumusan teks secara mendalam
•membaca kandungan bab dengan pantas sambil mencatatkan kata kunci dan konsep yang  dinyatakan
•memberikan perhatian kepada rajah dan grafik yang ada


         Teknik Pembacaan Perlahan

TUJUAN :

* untuk membuat analisis
supaya lebih faham
dapat menilai bahan bacaan
memahami arahan yang diberikan
*mengingat maklumat dengan lebih berkesan


1) TEKNIK SQ3R
-SQ3R ialah teknik membaca perlahan yang telah diperkenalkan oleh Robinson (1961).
-Ia merupakan satu kaedah membaca yang memerlukan seseorang mempersoal
 kesesuaian maklumat yang terdapat dalam suatu bahan yang dibaca dengan tugasan
yang perlu diselesaikan.
- SQ3R  - Survey   (Mengkaji)
       Question  (Menyoal)
        Read       (Membaca)
       Recite      (Menyebut)
       Review    (Mengulas)


SURVEY (MENGKAJI)

Kaji bahan bacaan dan dapatkan isi kandungan
Baca prakata, tajuk , tajuk kecil dan sub-tajuk
Baca keterangan , carta dan grafik
Baca rumusan


QUESTION (MENYOAL)

Menyoal perkara yang berkaitan dan bersesuaian
Proses bacaan secara aktif
Menukar tajuk dan subtajuk kepada bentuk soalan
Baca soalan pada akhir bab
Bersoal jawab


READ (MEMBACA)

Tanya pada diri sendiri
Baca perlahan pada petikan yang sukar
Cuba jawab soalan pada permulaan dan akhir petikan
Dapatkan jawapan dan kaitkan dengan idea penulis
Catatkan nota yang bergaris, huruf italic dan ditebalkan


RECITE (MENYEBUT)

Ingatkan formula / maklumat dan bandingkan dengan buku yang dibaca
Imbas kembali apa yang dibaca melalui teknik penyoalan
Dapatkan maklumat penting dan tulis dengan perkataan sendiri
Gunakan deria anda untuk memudahkan mengingat
Buat ringkasan
Sediakan peta minda


REVIEW (MENGULAS)

Ulas semula maklumat yang dibaca
Ulas soalan dan jawapan
Buat ulasan nota
Gunakan kad imbasan pada soalan yang sukar
Rumusan pertama dibuat sebaik sahaja selepas belajar 


2) TEKNIK MEMBACA KWLH

KWLH adalah singkatan bagi yang berikut;
K (know) Apa yang telah diketahui (sebelum membaca)
W (want) Apa yang hendak diketahui (sebelum membaca)
L (learned) Apa yang telah diketahui (selepas membaca)
H (how) Bagaimana untuk mendapat maklumat tambahan ( untuk pembacaan seterusnya)

Teknik ini akan membolehkan pelajar :

1) mengaitkan pengetahuan yang sedia ada dengan apa yang dibaca

       2) menentukan apa yang telah diperoleh dari pembacaannya.

      3) menentukan apakah lagi bahan yang perlu dibaca sekiranya ingin mendapat maklumat tambahan

Dalam konteks pengajaran, pelajar dibiasakan menggunakan borang seperti yang di bawah sekiranya dikehendaki menggunakan teknik KWLH




Tuesday 10 September 2013

Ipg student's life

Assalamualaikum....welcome to my blog. Salam perkenalan.

How wonderful my life as a student in Institut Pendidikan Guru Kampus Perempuan Melayu Melaka. Apa yang special adalah kami semua perempuan :) Major subjek saya ialah prasekolah.

Pagi ni belajar subjek GKB Kemahiran Belajar. Subjek ni fun sangat. Tambahan lagi, blogging is one of my tasks in this subject. Then, have fun.....