OLEH NURUL HUDA
UNIT PPISMP PRASEKOLAH JUN 2013
Terlebih
dahulu saya ingin merapatkan tangan ke Ilahi sebagai tanda syukur saya kepada
Allah SWT kerana dengan limpah kurnia-Nya, akhirnya dapat juga saya menyiapkan
tugasan projek bagi subjek GKB 1053, Kemahiran Belajar ini.
Saya telah menerima tugasan ini pada 5 Ogos 2013 dan diberi tempoh empat minggu
untuk disiapkan. Tugasan ini perlu dijalankan secara individu namun saya turut
berkongsi idea dan maklumat bersama rakan-rakan unit yang lain. Memandangkan
ini merupakan kali pertama saya menerima tugasan sebagai pelajar di Institut
Pendidikan Guru, saya berasa amat teruja dan menjadikan ini satu cabaran dan
pengalaman baharu untuk diterokai. Melalui bantuan pensyarah, Encik Hamzah bin
Dollah, rakan- rakan dan sedikit ilmu pengetahuan mengenai mata pelajaran ini,
hasil daripada pembelajaran saya semasa kuliah, akhinya, saya mampu menyiapkan
tugasan ini dalam tempoh yang ditetapkan.
Sepanjang
saya melaksanakan tugasan ini, saya menjalani pelbagai peringkat bagi
mendapatkan maklumat sebagai sumber rujukan sebelum memulakan penulisan bagi
tugasan tersebut. Pertama, saya mengambil inisiatif dengan membaca dan
mengetahui kehendak tugasan yang diberi. Setelah itu, saya mencari maklumat
yang berkaitan dengan definisi dan juga konsep kemahiran membaca dengan
menggunakan internet dan Tatabahasa Dewan sebagai rujukan. Pada fasa kedua
iaitu semasa penulisan, saya menjalankan proses pemerhatian seperti teknik-teknik
atau strategi membaca yang berkesan bagi seorang pelajar. Saya menjadikan orang
sekeliling saya sebagai contoh seperti cara-cara mengulang kaji pelajaran yang
diamalkan oleh kakak dan abang serta rakan-rakan saya di sekolah. Seterusnya,
rujukan saya tertumpu kepada bahan-bahan bacaan daripada akhbar dan majalah
serta pihak yang berpengalaman dalam bidang tersebut. Sebagai contoh, saya
turut mendapatkan maklumat dengan bertanyakan pengalaman dan pengetahuan ibu
bapa saya. Malah, saya turut merujuk kepada pensyarah bagi memastikan saya
menggunakan format yang betul untuk tugasan yang diberi.
Melalui tugasan ini, saya banyak belajar perkara baharu tentang konsep serta
strategi kemahiran-kemahiran generik seperti membaca, membuat dan mengambil
nota dan sebagainya. Malah, saya mempelajari betapa pentingnya kemahiran-kemahiran
ini diamalkan sejak kecil dalam kehidupan seorang pelajar. Tambahan pula, saya
selaku bakal pendidik memainkan peranan yang penting untuk menerapkan amalan
serta strategi belajar yang berkesan dalam kehidupan bakal murid-murid saya.
Apa yang saya telah pelajari dalam subjek ini amat berguna untuk diaplikasikan
semasa saya menjadi guru di sekolah kelak.
Sepanjang
menyiapkan tugasan ini, terdapat juga masalah atau kekangan yang saya tempuhi.
Antaranya ialah kekangan masa. Hal demikian kerana, saya terpaksa membahagikan
masa antara waktu kuliah dengan waktu membuat tugasan. Namun, saya berasa
sungguh bersyukur kerana tempoh tugasan yang diberikan agak lama dan dengan
kesempatan yang diberi saya membahagikan masa antara waktu kuliah dan tugasan-
tugasan subjek lain dengan baik agar saya dapat menyiapkan tugasan ini dengan
sebaik mungkin. Oleh itu, saya sedar bahawa
pengurusan masa amat penting terutama sebagai pelajar di Institut
Pendidikan Guru di mana melatih saya untuk berdisiplin dalam melakukan apa jua
tugasan yang diberi. Hal ini sekaligus membentuk diri saya menjadi insan yang
cemerlang bagi membentuk akhlak yang mulia dalam kalangan murid-murid kelak.
Selain
itu, saya juga menghadapi masalah dalam mencari bahan rujukan daripada sumber
buku atau majalah. Hal ini kerana bahan-bahan bacaan yang berkaitan dengan
topik tugasan daripada perpustakaan sedikit terhad dan tidak dapat dipinjam
untuk difotostat. Oleh itu, saya mengambil langkah untuk mengimbas bahan-bahan
bacaan daripada buku dan artikel dalam majalah. Di samping itu, saya turut
mengambil inisiatif dengan mengambil gambar dan membuat catatan tentang topik
yang dicari. Berdasarkan kemahiran mengambil nota yang telah dipelajari di
sekolah, saya mengaplikasikannya dalam strategi untuk mencari maklumat serta
bahan rujukan bagi memulakan tugasan. Masalah ketiga yang saya hadapi dalam
membuat tugasan ini pula ialah masalah dalam membuat bibliografi mengikut
format APA . Namun, saya dapat menanganinya dengan merujuk kepada pensyarah dan
juga rujukan dalam internet.
Tambahan pula, tugasan ini
bukan sekadar memenuhi peruntukan yang disenaraikan untuk pemarkahan sahaja
namun tugasan ini memberi banyak kekuatan dan pengetahuan yang lebih luas mengenai
konsep kemahiran belajar yang sebenar yang perlu diamalkan dalam kalangan
pelajar kini agar kandungan serta masa yang diperuntukkan dalam pembelajaran
berkualiti bagi menjamin masa hadapan yang cerah. Selain daripada itu, tugasan
ini banyak membantu saya dari segi menghasilkan blog, pengurusan grafik dan
penulisan akademik yang baik serta sesuai dengan kehendak format yang diberi.
Hal ini kerana, ini adalah pengalaman pertama saya dalam membuat tugasan
menggunakan blog serta pembentangan dan pengurusan grafik. Walaupun ia dianggap
mudah namun saya turut menghadapi kesukaran dalam proses menghasilkannya. Namun
begitu, jika dilihat daripada sudut positif, saya berasa bertuah kerana dapat
mempelajari sesuatu yang baharu seperti kemahiran dalam menggunakan perisian
komputer dengan cekap dan baik dalam menghasilkan blog dan pengurusan grafik
yang kreatif dan kemas.
Menurut kajian dan pengalaman saya, guru-guru
kini amat memerlukan kemahiran dalam menggunakan komputer dengan cekap
disebabkan dunia teknologi yang canggih dan sentiasa berkembang maju serta
sistem pengajaran dan pembelajaran yang banyak menggunakan sistem komputer
untuk berurusan. Oleh itu, saya sedari bahawa kepentingan dalam mahir
menggunakan komputer serta menyediakan nota atau bahan dalam pengurusan grafik
yang baik dari segi kreativiti dan kekemasannya mampu membantu saya dalam
menyediakan bahan mengajar yang berkesan untuk murid-murid ketika praktikum di
sekolah kelak. Dalam menghasilkan pengurusan grafik, saya banyak menggunakan
perisian serta aplikasi yang terdapat dalam komputer seperti “Smart Art” atau
“Chart” yang terdapat dalam Microsoft Office Word dan juga Power Point
Presentation.
Di samping itu juga, saya mendapati aplikasi
komputer yang terdapat dalam Microsoft Office Word mampu membantu saya dalam
menghasilkan bibliografi yang mengikut kehendak
format APA. Oleh hal yang demikian, saya sebagai seorang pelajar dan
bakal guru perlu meneroka dan menambah ilmu yang sedia ada bagi menyediakan
diri ke arah mencapai matlamat Falsafah Pendidikan Negara iaitu melahirkan
insan yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek.
Bukan itu sahaja, tugasan ini juga membantu
saya dalam menghasilkan penulisan akademik yang baik iaitu dalam bentuk esei.
Saya dapat melatih diri saya dalam menghasilkan penulisan esei yang baik dari
segi kosa kata, tatabahasa, ejaan dan sebagainya. Hal ini secara tidak langsung
dapat meningkatkan kemahiran berbahasa saya iaitu daripada aspek kemahiran
membaca dan menulis. Malah, ia juga melatih saya dalam menghasilkan penulisan
esei yang baik dalam menjawab soalan peperiksaan yang berbentuk esei. Ia
menjadi kekuatan kepada saya untuk menguasai kemahiran berbahasa serta
penggunaan bahasa yang baik sama ada dalam penulisan mahupun pertuturan.
Sebagai bakal seorang guru, saya tidak boleh menjadi seperti ketam mengajar
anaknya berjalan. Saya menyedari bahawa pentingnya seorang guru mencari dan
menuntut ilmu sebanyak yang mungkin agar ilmu yang dicurahkan tepat dan diberkati
Allah SWT.
Sesungguhnya,
saya berasa sangat bertuah kerana diberi peluang untuk mempelajari segala ilmu
ini kerana ianya pasti sangat membantu saya dalam kerjaya perguruan ini nanti.
Hal ini kerana sudah semestinya saya perlu mengetahui dan memahami konsep
sebenar kemahiran belajar dan mengaplikasikannya dalam kehidupan. Tambahan
pula, terdapat isu yang mempersoalkan kemahiran guru selain daripada mengajar
dan membimbing murid dalam membentuk insan yang cemerlang. Guru seharusnya
menguasai pelbagai kemahiran ekoran sistem pengajaran dan pembelajaran yang
diikuti dengan perkembangan teknologi yang canggih. Oleh hal yang demikian,
ilmu yang diperolehi oleh guru-guru pelatih di Institut Pendidikan Guru perlu
diaplikasikan dalam kehidupan sebenar di mana bukan sahaja fokus kepada subjek
utama malah subjek sampingan seperti subjek Kemahiran Belajar yang mengutamakan
pembentukan sahsiah dan kemahiran pelajar apabila menjadi guru kelak.
Akhir
kata, dalam menyiapkan tugasan ini, pelbagai kekuatan dan kelemahan yang
ditemui dan kekuatan itu dijadikan amalan manakala kelemahan dijadikan
pengajaran. Saya berasa lega kerana dapat menyiapkan tugasan dengan jayanya dan
mengambil kesempatan untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada pensyarah
serta rakan-rakan yang telah memberi kerjasama dan bantuan yang tidak terhingga
dalam melaksanakan tugasan ini. Oleh itu, saya berharap agar hasil penulisan
kerja kursus saya ini menepati kehendak dan piawaian yang ditetapkan oleh pihak
pensyarah dan pihak Institut Pendidikan Guru Malaysia.
Sekian, terima kasih.
No comments:
Post a Comment